Bytedance Ltd sahkan buang pekerja
Mahu kukuhkan model operasi global berkenaan moderasi kandungan
KUALA LUMPUR – Pemilik TikTok, Bytedance Ltd. merancang memberhentikan sehingga beberapa ratus kakitangan di seluruh dunia susulan usaha untuk mengukuhkan lagi model operasi globalnya bagi moderasi kandungan.
Laporan Business Times hari ini menyebut, jurucakap TikTok mendedahkan syarikat itu merancang untuk melabur sebanyak AS$2 bilion di peringkat global dalam inisiatif kepercayaan dan keselamatan sepanjang tahun 2024, dengan fokus untuk meningkatkan kecekapan moderasi kandungan aplikasinya.
“Perubahan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengukuhkan lagi model operasi global bagi moderasi kandungan.
“Kami menjangka akan melabur sebanyak AS$2 bilion dalam meningkatkan lagi kepercayaan dan keselamatan dalam aplikasi kami di peringkat global pada 2024.
“Kami akan terus meningkatkan lagi keberkesanan usaha tersebut, dengan 80 peratus kandungan yang melanggar peraturan aplikasi kini dihapuskan oleh teknologi automatik,” kata jurucakap berkenaan.
Walaupun TikTok tidak memberikan angka tepat mengenai bilangan kakitangan yang terkesan oleh perubahan ini, ia mengakui bahawa beberapa ratus orang akan terjejas di peringkat global.
Laporan media sejak semalam menyebut, Bytedance telah memberhentikan lebih 500 kakitangannya di Malaysia.
Difahamkan, kebanyakan pekerja yang terlibat adalah yang bekerja dalam moderasi kandungan di platform, yang bukan sahaja terhad kepada Asia Tenggara tetapi juga di rantau lain.