MUF 2024 buka mata dalam perkasa, tingkat kesejahteraan penduduk bandar
GEORGE TOWN – Malaysia Urban Forum (MUF) 2024 edisi keenam telah membuka mata dan perhatian pelbagai pihak khususnya dalam melestarikan bandar dan memperkasakan serta peningkatan kesejahteraan penduduk bandar.
MUF 2024 bertemakan ‘Bandar Saya, Rumah Saya’ atau ‘My City, My Home’ yang diadakan bermula Sabtu hingga Selasa depan secara rasminya dilancarkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Padang Kota Lama, di sini mendapat sambutan yang cukup baik.
Simbolik perasmian apabila Kor Ming bersama Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir P Rajendran menaiki belon udara panas.
Acara itu turut dihadiri Penasihat Kerajaan Malaysia dalam Perbandaran Mampan, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dan juga Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim.
Malaysia Tribune berkesempatan bertemu dan bertanyakan beberapa pengunjung mengenai program itu yang diadakan buat pertama kalinya di Pulau Pinang selepas dipilih menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini selepas diadakan forum yang sama tahun lalu di Kuching, Sarawak.
Program itu dilihat sangat bertepatan dan cukup relevan dalam mewujudkan rasa pemilikan dan tanggungjawab di kalangan penduduk bandar dan pembabitan komuniti setempat sangat penting dalam memberikan penekanan pada kelestarian, inovasi dan daya tahan komuniti.
Azman Sirun, kakitangan kerajaan berkata, MUF 2024 itu sebenarnya platform terbaik semua golongan untuk menyuarakan pendapat tanpa mengira latar belakang diri baik golongan muda, belia dan profesional.
“Ia perlu direbut dan melihat sudut positif dan intaian masa depan negara antara lima hingga 10 tahun akan datang apakah kelestarian bandar dan memperkasakan kesejahteraan penduduk bandar dapat direalisasikan dengan pelbagai kejayaan.
“Bagi saya keperluan dan kemudahan masyarakat khususnya bagi kanak-kanak autism dan warga emas dibuat secara lebih eksklusif termasuk pembinaan taman permainan agar golongan ini diberikan perhatian yang sewajaranya.
“Golongan ini juga ada hak dan mereka juga perlukan sedikit perhatian yang khusus agar tidak tersisih dan mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih ceria dan gembira bersama-sama,” katanya.
Bagi Nurmasyitah Ghazali, kakitangan swasta secara jujurnya menumpukan perhatian terhadap golongan hawa terutama wanita mengandung, ibu tunggal dan remaja bawah umur dalam menjalani kehidupan seharian di bandar mahupun luar bandar.
“Perhatian ini sudah diberikan kepada mereka selepas segala kemudahan disediakan tanpa mengira umur dan bangsa namun diharapkan pelbagai kemudahan disediakan dan diperbanyakkan serta diperluaskan lagi.
“Golongan remaja bawah umur juga perlu diberikan penekanan terutama bidang pendidikan dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi agar dapat diberikan sama rata baik golongan yang tinggal di bandar atau luar bandar agar mereka tidak tercicir.
“Peluang-peluang pekerjaan juga dilihat amat positif sejajar usaha memperkasakan wanita dalam bidang kerjaya yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.