Jenayah & Mahkamah

Pesara guru maut ditikam anak

KUALA PILAH – Seorang warga emas maut ditikam anak kandungnya sendiri di sebuah rumah dekat Kampung Senaling, di sini, petang tadi.

Menurut BH Online, kejadian berlaku kira-kira jam 4.40 petang ketika warga emas berusia 65 tahun itu yang juga pesara guru memujuk anak lelakinya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental yang dikatakan mahu membunuh diri.

Suspek berusia 32 tahun yang meninggalkan lokasi selepas kejadian itu menggunakan kereta kemudian ditemui terbaring di tepi jalan dekat Pekan Senaling dan disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai seorang lelaki meninggal dunia akibat ditikam menggunakan senjata tajam oleh suspek yang juga anak kandungnya.

“Siasatan mendapati mangsa seorang pesara guru dan ketika kejadian isterinya turut berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan pada badan si mati menemukan satu kesan tikaman pada bahagian belakang badan, dengan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian ini turut ditemui di rumah berkenaan, manakala suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta,” katanya.

Amran berkata, suspek kemudiannya dikesan dan ditemui di tepi jalan dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih, pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia.

“Motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba bunuh diri. Ketika dipujuk bapanya, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan menikam mangsa.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button