Aidilfitri 2023: Kerajaan setuju beri satu hari kelepasan am tambahan
CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang akhbar khas, sebentar tadi.
“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat (21 April), maka Kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Walau bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu (22 April) maka Kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan,” kata Anwar.
Untuk rekod, hari kelepasan am Hari Raya Aidilfitri seperti yang diwartakan adalah pada 1 dan 2 Syawal.
Anwar kemudiannya menambah, bagi negeri Sabah dan Sarawak, hari kelepasan am tambahan tersebut boleh diisytiharkan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.