Draf RUU pindaan Akta 171 bagi hukuman buang sampah sesuka hati di peringkat akhir – Kor Ming
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya masyarakat di negara ini mengambil serius terhadap penjagaan kebersihan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk sesebuah bandar atau kawasan.
Justeru itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini di peringkat dalam mempersiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang bakal dibentangkan pada tahun depan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pindaan undang-undang baharu ini melibatkan pesalah yang melakukan kesalahan berulang akan dihukum dengan khidmat sosial seperti mencuci tandas, menyapu sampah dan pelbagai lagi.
“Kita lakukan semua ini sebab nak pastikan masyarakat peka terhadap aspek kebersihan yang mencerminkan identiti perlu dijaga.
“Sekarang ini zaman media sosial, sekiranya kita tidak menjaga kebersihan maka pelancong datang dan dia buat TikTok, maka nama negara kita yang terjejas dan undang-undang ini telah diperkenal dan berjaya dilaksana selama bertahun-tahun di kebanyakan negara maju.
“Justeru, adalah amat penting untuk kita memberikan gambaran serta imej yang baik tentang negara kita yang tercinta kepada mereka,” katanya.
Nga Kor Ming berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia di Pasar Seni, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
Terdahulu, Kor Ming dalam ucapannya berharap agar Hari Cuci Malaysia dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dan komuniti di setiap peringkat mengenai kepentingan dan tanggungjawab terhadap kebersihan awam demi kesejahteraan dan kesihatan semua.
Kata Kor Ming lagi, kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak.
“Ini termasuklah membuang sampah dengan betul di tempat yang ditetapkan, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan aktiviti kitar semula, menyertai aktiviti gotong-royong dan bermacam-macam lagi,” katanya.
Tambah Kor Ming, sebanyak 50,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat disasarkan menyertai aktiviti gotong-royong sempena Hari Cuci Malaysia hari ini.
“Peserta termasuk pelajar sekolah, syarikat konsesi, komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR), komuniti PRIMA home seta 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Kor Ming berkata, program gotong-royong yang dijalankan serentak di seluruh negara itu turut menyasarkan kutipan sebanyak 3,000 tan sampah selama 12 jam pembersihan.
“Program Pembersihan Mega sempena World Cleanup Day 2024 itu akan menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
“Kita akan pecahkan tiga rekod iaitu yang pertama, penyertaan paling ramai dengan kita sasarkan sebanyak 50,000. Kedua, kutipan sampah paling tinggi iaitu kita sasarkan 3000 metrik tan dan yang ketiga, gotong royong paling lama, selama 12 jam dari 8:00 pagi hingga 8.00 malam,” ujarnya.