Larian Keluarga Malaysia tarik penyertaan hampir 5,000 peserta termasuk dari 10 negara
KUALA LUMPUR – Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 yang pertama kali dianjurkan oleh Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) pada Ahad ini telah menarik hampir 5,000 penyertaan merentasi pelbagai negara dan peringkat usia.
Pengerusi YKM yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan di luar jangka ini turut mendapat penyertaan dari 10 negara seperti Kenya, Mesir, Amerika Syarikat,
United Kingdom, Jepun dan Indonesia.
“Larian Keluarga Malaysia 2024 merupakan acara larian yang kali pertama dianjurkan oleh YKM dan penyertaan diterima amat memberangsangkan.
“Sebelum ini, YKM menyasarkan sebanyak 3,000 peserta sahaja, bagaimanapun sambutan amat luar biasa.
“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LKM 2024 mendapat tajaan daripada PERODUA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Shopee Malaysia Sdn Bhd, Affin Bank, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Hotel Holiday Villa, Koperasi Al-Najah, Hotel IDEAS Kuala Lumpur, Yayasan AEON Malaysia, Kajang Plaza Medical Centre dan Optimax Eye Specialist Centre.
Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang menyokong larian ini khususnya rakan strategik, Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) dan agensi yang terlibat seperti, Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Larian itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5km (fun run) 10km (race) dan 21km (half marathon) dengan bekas Perdana Menteri itu akan menyertai acara ‘fun run’ untuk lima kilometer bersama bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan lebih 40 anaka-nak yatim dan yatim piatu YKM.
Sebelum itu, beliau akan melepaskan peserta bagi kategori 21km pada jam 6.30 pagi dan 10km (pukul 7.00 pagi).
Turut memeriahkan larian itu ialah Duta LKM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang akan menyertai kategori 10km manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menyertai kategori 21km.
Sementara itu, pada Sabtu ini akan diadakan Race Pack Collection bagi peserta-peserta yang telah mendaftar di Dewan Semarak, Cyberjaya bermula jam 10 pagi sehingga 8 malam.
Para peserta dinasihatkan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan dan barisan pengambilan baju yang panjang.