Dasar luar berkecuali Malaysia jamin hubungan perdagangan antarabangsa
JOHOR BAHRU – Malaysia harus memanfaatkan sepenuhnya dasar luar berkecuali dan bebas yang diamalkan terutama dalam bidang politik, bagi memperkukuh kedudukan sebagai negara perdagangan antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dasar berkecuali yang diamalkan bukan perkara baharu, malah telah lama diiktiraf di peringkat global.
Oleh itu katanya, negara harus mengambil peluang dari hubungan baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Rusia untuk menarik pelaburan asing.
“Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan dan dasar berkecuali kita membolehkan kita berkawan dengan semua negara.
“Namun fokus utama adalah kepada perdagangan dan ekonomi, bukan politik,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan serta Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Tahun 2024 di sini hari ini.
Menurut Fadillah, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia perlu bijak mengimbangi hubungan dengan pelbagai negara besar untuk memanfaatkan kelebihan yang ada pada setiap negara demi kesejahteraan rakyat.
“Kita perlu menilai dan mengenal pasti potensi dari setiap negara seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, dan negara Eropah untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan,” katanya lagi.
Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.