KPDN tumpas sindiket seleweng minyak diesel bernilai lebih setengah juta
BANGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan berasingan yang dilakukan ke atas dua premis di Kawasan Perusahaan Sg. Lalang, Sg. Petani, Kedah.
Ketua Pengarah Penguatrkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan Ops Tiris ke atas premis yang dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa dari KPDN Putrajaya pada 9 April lalu hasil risikan yang dilakukan selama lebih sebulan.
Katanya, dalam serbuan di lokasi pertama, pihaknya menemukan sejumlah 3,000 liter minyak diesel dalam sebuah tangki bersama beberapa peralatan namun tiada individu atau pekerja ditahan.
Nilai rampasan di lokasi pertama dianggarkan RM34,450.
“Minyak diesel serta beberapa peralatan lain seperti pam bermotor, hos penyambung, flow meter dan beberapa dokumen perniagaan seperti resit dan buku rekod perniagaan telah disita untuk siasatan lanjut.
“Dalam serbuan di lokasi kedua, seramai enam individu ditemukan ketika sedang leka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain di dalam premis terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis kedua menemukan sejumlah 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.
“Kesemua enam individu terbabit yang yang mana tiga daripadanya merupakan warganegara tempatan berumur lingkungan 24 hingga 49 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan di lokasi serbuan kedua itu dianggarkan berjumlah RM544,600,” katanya.
Katanya, enam individu termasuk tiga warganegara tempatan berumur lingkungan 24 hingga 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.
Tambah beliau, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan pesalah boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00.