1,144 perajurit muda Tentera Darat tamat latihan
PORT DICKSON – Seramai 1,144 perajurit muda Tentera Darat lelaki telah berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan pada kali ini di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 200/2024 itu telah menjalani latihan mulai 8 Mac 2024 hingga 15 September 2024 di sini.
Objektif pelaksanaan latihan perajurit muda bertujuan untuk melatih dan melengkapkan perajurit dengan pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran sebagai seorang anggota tentera sebelum diserapkan dalam pelbagai kor dan rejimen dalam Tentera Darat.
Latihan yang dilalui memberi penekanan kepada pembentukan keperibadian ketenteraan (profil), serta pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, disamping mendedahkan perajurit muda dengan pengetahuan asas ketenteraan.Seramai 1,144 perajurit muda menamatkan latihan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 200/2024 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di Port Dickson Negeri Sembilan.
Latihan ini dilaksanakan selama enam bulan bagi melahirkan perajurit muda yang berkeyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten untuk mencapai kualiti sumber manusia yang terbaik sesuai dengan kehendak Tentera Darat.
Modul latihan asas perajurit muda ini juga dibahagikan kepada beberapa komponen utama meliputi pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, latihan kemahiran perang di samping pengukuhan kepada aspek kerohanian kepada mereka yang beragama Islam dan kelas moral kepada yang bukan beragama Islam.
Perbarisan tempur dan berjalan lalu dalam masa cepat ini melibatkan sebanyak dua kontinjen yang terdiri daripada 14 detasmen.
Setiap detasmen dianggotai oleh seramai 70 orang perajurit muda dengan perbarisan diketuai oleh Perajurit Muda Lelaki Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim.
Pancaragam gabungan Tentera Darat yang terdiri daripada Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja, Bras Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja dan Bras Band Pusat Latihan Asas Tentera Darat di bawah pimpinan Kapt Amirul Syafiq Abd Aziz, Timbalan Pengarah Muzik Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja dan Kapt Nurul Fatin Hajar Ismadi di bantu oleh Band Sarjan Mejar, Pegawai Waran Dua Emir Fikri Ismail, Staf Sarjan (Fomen) Nurhidayah Mohd Noor, Sarjan Mohd Azlin Mislan dan Drum Mejar, Sarjan Romi Seymen.
Turut dipamerkan adalah aset ketenteraan iaitu dua buah kenderaan 8X8 GEMPITA, dua buah Lipan Bara, dua buah Gempita, dua buah Astros II MLRS, dua buah meriam 105mm dan dua buah kenderaan pembawa senjata GK MK I Gatling Gun.