Polis sahkan 13 penghuni rumah amal GISBH pernah diliwat
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan setakat ini seramai 13 penghuni rumah amal yang bernaung di bawah syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengaku pernah dipercayai diliwat.
Beliau berkata, selepas siasatan peringkat kedua dilakukan, didapati seramai sembilan lagi mempunyai sejarah pernah diliwat.
Sementara itu, hasil daripada saringan kesihatan ke atas 172 pelajar yang terlibat dengan isu ekspoitasi mendapati kesemua mengalami kecederaan fizikal dan mental.
Mengulas dakwaan pihak polis lambat bertindak dalam kes GISBH, Razarudin berkata, siasatan kes itu sudah dilakukan pada tahun 2011 namun tangkapan hanya dibuat selepas mendapat petunjuk yang kukuh.
“Pada serbuan bertarikh 2 September lalu, kita terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.
“Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.
Pada sidang media Rabu lalu di Kuantan, Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.