PM X

PM terima kunjungan hormat David Marriott, bantu promosikan pelancongan Malaysia

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada wakil syarikat hospitaliti terbesar di dunia iaitu Pengerusi Marriott International, David Marriott.

Perdana Menteri berkata, peluang itu digunakan dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan selain meningkatkan jaringan penerbangan yang lebih luas lagi.

“Saya sempat berkongsikan polisi Kerajaan Madani yang kini telah membuahkan hasil apabila negara berjaya merekodkan peningkatan jumlah kehadiran pelancong asing sebanyak 28.9 peratus untuk separuh tahun 2024 berbanding tempoh yang sama tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan David Marriott, semalam.

Tambah Anwar yang juga Menteri kewangan, kekayaan Malaysia dengan budaya dari kepelbagaian kaum, makanan yang enak serta keunikan biodiversiti mampu mengangkat negara ini sebagai satu destinasi tumpuan utama dalam rantau Asia Tenggara khususnya dari kalangan pelancong negara barat.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menekankan pentingnya usaha mempromosikan pelancongan Malaysia daripada pemain industri dan syarikat swasta.

“Adalah penting usaha ini turut disertai oleh pemain industri dan syarikat swasta dari dalam dan luar negara supaya pulangan daripada kejayaan ini akan dapat turut memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button