Jenayah dalam talian dapat ditangani menerusi kerjasama serantau
KUALA LUMPUR – Jenayah dalam talian di rantau ini hanya akan dapat ditangani sekiranya ada kerjasama antara negara serantau.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata aktiviti jenayah secara dalam talian kebiasaannya merentasi sempadan.
“Persoalan yang timbul sekarang adalah bagaimana kita memulakan perbincangan dengan negara serantau dan di seluruh dunia.
“Langkah itu perlu kerana apabila berlaku sesuatu, kita tahu ke mana perlu dituju untuk membuat aduan, kita tahu bagaimana untuk menghadapinya, bagi menyelesaikan masalah,” katanya.
Gobind berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Perundangan Antarabangsa Kemudaratan dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Tambahnya, undang-undang yang ada kini sudah ketinggalan dan tidak seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat untuk menangani jenayah siber, jadi ia perlu dipermudahkan bagi mangsa mendapatkan keadilan.
“Kementerian sedang mengkaji kaedah bagi membolehkan laporan polis dibuat secara dalam talian bagi menangani kekerapan jenayah. Kita perlu mula mengubah cara pemikiran berhubung bagaimana kita mendekati keperluan prosedur membabitkan siasatan.
“Antara perkara yang sudah dibincangkan di kementerian saya adalah sama ada kita boleh membangunkan sistem yang lebih cekap yang mana aduan boleh dibuat, penyiasatan dijalankan dan sudah tentu, tindakan diambil. Bagaimanapun ini masih pada peringkat perbincangan,” katanya.
Gobind berkata, pihaknya juga sedang mengkaji untuk menambah dan melatih lebih banyak kakitangan beberapa di agensi berkaitan, antaranya Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).