Pembekal sewaan Black Hawk diberi tempoh hingga Oktober untuk penuhi kontrak
KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan akan membatalkan kontrak perolehan sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) sekiranya pembekal masih gagal menyerahkannya pada Oktober ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini, pihak pembekal sudah diberi tempoh pemanjangan untuk menunaikan syarat kontrak mereka.
“Belum (buat keputusan pembatalan), kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran.
“Jika tiada penghantaran (helikopter Black Hawk), akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3, di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya sama ada kontrak perolehan helikopter tersebut sudah dibatalkan atau tidak.
Pada awal bulan lalu, Mohamed Khaled dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.
Mengenai kematian penyelam Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika operasi salvaj KD Pendekar, baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, laporan siasatan punca kejadian dijangka diperoleh dalam tempoh masa sebulan.
“Bedah siasat kita sudah buat untuk Allahyarham, tetapi laporan macam mana Allahyarham sama ada tersangkut atau bagaimana, kita kena buat siasatan rapi.
“Dalam tempoh sebulan (dapat laporan),” jelasnya lagi.