Berita Semasa

‘Allah sentiasa menghantar insan untuk membantu’ – Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

KUALA LUMPUR – Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah masih kekal beroperasi walaupun akaun banknya telah dibekukan sejak insiden kebakaran pada 2017 lalu.

Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, pusat tahfiz itu kini terpaksa beroperasi menggunakan dana sumbangan awam tanpa sebarang bantuan daripada pihak berwajib.

Jelasnya, ini kerana Allah sentiasa menghantar insan serta individu perseorangan untuk membantu.

“Alhamdulillah kita boleh bangun beroperasi seperti biasa. Kami kembali pulih dan bersemangat untuk beroperasi seperti biasa.

“Selain akaun dibekukan, kalau dulu MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) bantu kami, tetapi apabila kes 2018 (sekolah) disaman dan MAIWP disaman juga, jadi bantuan ditangguhkan dahulu daripada 2018 sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kongsi Rezeki Ramadan yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zahid, Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, memerlukan kira-kira RM25,000 hingga RM30,000 untuk kegunaan kos penyelenggaran dan makan minum 30 pelajarnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Kita bukan saja buat rayuan, tetapi kita berjumpa terus dengan pihak berwajib cuma oleh kerana bukan rezeki kami, maka belum ada bantuan lagi.

“Tetapi tidak ada masalah walaupun tempat kita tidak ada yuran pengajian dan tanpa dana pihak berwajib, Alhamdulillah sekolah boleh beroperasi.

“Sebab kalau Allah kata bagi, maka bagi kerana pengharapan kita bukan sesiapa, terus pada Allah,” katanya.

Pusat tahfiz ini pernah menjadi tumpuan apabila seramai 21 pelajar dan dua gurunya terkorban dalam tragedi kebakaran pada 14 September 2017.

Show More

Related Articles

Back to top button