Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Kenalan, rakan niaga Forex dituduh bunuh Istiqomah

ALOR GAJAH – Peniaga mata wang asing (Forex) dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh guru yang juga kenalannya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, pada Disember lalu.

Sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan jurubahasa jam 10.45 pagi, tertuduh Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, mengaku faham dalam prosiding didengar Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berasal dari Medan Klebang Mewah, Chemor, Perak kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, di sini, antara 26 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023.

Jika disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum gantung di leher sampai mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod dan Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Muhammad Nazrin turut membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh mengikut peruntukan Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Majistret Dr Teoh kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

“En Mohd Fadzly, awak boleh hubungi keluarga selepas ini untuk melantik peguam (mewakili kes),” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu, ahli keluarga mangsa tiba dari Kota Masai, Johor kira-kira jam 9.45 pagi dan sebahagian daripada mereka dilihat memasuki kamar mahkamah dan mengikuti pendakwaan kes itu.

Biras mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka datang dari Pasir Mas, Kelantan dua hari lalu sebelum bermalam di rumah arwah di Kota Masai.

Ketika ditanya apa perasaan berikutan kes berkenaan akhirnya dituduh di mahkamah selepas lapan bulan kehilangan arwah, ‘kami datang nak tunggu dan dengar pertuduhan, nak tengok guano, orang yang buat kat adik kito’, katanya.

Terdahulu, Mohd Fadzly tiba di pekarangan Mahkamah Majistret jam 9.10 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju-T warna biru dan seluar pendek warna coklat, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.

Show More

Related Articles

Back to top button