Nasi goreng berbeza harga, pemilik restoran diberi notis oleh KPDN
KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah restoran di Bandar Sri Permaisuru di sini yang menjual nasi goreng sardin dengan harga berbeza diberikan notis dan amaran keras supaya sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak terkeliru.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataannya memaklumkan, sepasukan anggota dikerah ke premis berkenaan selepas pihaknya menerima aduan mengenai dua resit pembelian nasi goreng sardin yang berbeza harga.
Katanya, satu pertemuan telah diadakan dengan penyelia restoran berkenaan untuk menyiasat dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Menerusi pemeriksaan tanda harga pada buku menu di restoran itu, harga nasi goreng sardin dinyatakan adalah RM9, manakala caj 30 sen bagi bungkusan dinyatakan dengan jelas dalam menu untuk makluman pelanggan.
“Bagi pesanan dan makan di restoran, tiada caj lain dikenakan kecuali harga makanan sahaja termasuk tambahan caj SST sebanyak enam peratus,” katanya.
Menurut kenyataan itu, notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan bagi mendapatkan justifikasi terhadap perbezaan harga.
“Pihak restoran diberi amaran keras supaya sentiasa mengemas kini tanda harga agar pelanggan tidak keliru, mematuhi undang undang dan tidak mengulangi kesilapan dilakukan,” katanya.
Sehubungan itu, KPDN memaklumkan pihak restoran memohon maaf di atas isu yang berlaku dan sedia untuk menghubungi pengadu bagi membuat penjelasan atau sebarang perkara berbangkit.