Berita Semasa

Tujuh premis disita DBKL di Segambut, Kepong

KUALA LUMPUR – Dua penjaja dan lima premis perniagaan yang menghalang tempat awam dikenakan tindakan sita dan pindah dalam operasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Segambut dan Kepong, dekat sini.

DBKL dalam kenyataannya berkata, operasi tindakan khas itu dijalankan melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Segambut dan Kepong di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pada Jumaat lalu.

“Dalam operasi tersebut, dua penjaja di Parlimen Segambut dan lima lagi premis perniagaan di Parlimen Kepong telah diambil tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” menurut kenyataan itu di laman Facebook rasmi DBKL.

Pihak DBKL juga akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do

Show More

Related Articles

Back to top button