Berita Semasa

Tidak boleh panggil bukan Islam yang hormati perlembagaan, undang-undang negara kafir harbi

PUTRAJAYA – Gelaran kafir harbi tidak boleh ditujukan kepada mana-mana bukan Islam yang menghormati perlembagaan dan mematuhi undang-undang sesebuah negara.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini kerana ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri ditetapkan ulama.

“Dalam konteks di Malaysia, setiap warga negara daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi.

“Oleh yang demikian, perbuatan melabelkan sebahagian daripada warganegara sesebuah negara dengan label sebegitu adalah satu perbuatan yang ekstrem dan keterlaluan.

“Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusir mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka,” katanya dalam Irsyad Hukum Siri Ke-864: Isu Berkaitan Pengkategorian Kafir Harbi yang dikongsikan dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Katanya, melabelkan seseorang warga negara dengan gelaran itu akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin.

“Istilah kafir harbi adalah dirujuk kepada golongan orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada orang Islam dan merupakan golongan yang memerangi Islam dan melakukan kejahatan ke atas mereka,” katanya lagi.

Semalam DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan parti itu adalah ‘kafir harbi di Malaysia’ pada program ceramah PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri supaya memohon maaf.

Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, mereka berkata individu terbabit dipercayai menjadi pengerusi pada majlis berkenaan.

Katanya, DAP juga menuntut kepimpinan PAS dan PN menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button