Berita Semasa

MDCH robohkan pusat pelancongan haram

KUANTAN – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) sudah merobohkan sebuah pusat pelancongan yang dibina secara haram di Cameron Highlands, semalam.

Menurut MDCH dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 70 (1) Pembinaan Tanpa Kelulusan di bawah Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Menurut hantaran itu, operasi yang bermula pada pukul 9 sehingga 11.30 pagi itu diketuai Yang Dipertua MDCH, Azmil Hadid Maznan.

“Operasi turut disertai kakitangan MDCH, jabatan dan agensi daerah termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Cameron Highlands (PDTCH), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Kerja Raya Daerah Cameron Highlands (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad ( TNB).

“Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands turut ditugaskan untuk kawalan keselamatan sepanjang operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan,” jelas MDCH dalam hantaran itu.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan itu sebagai peringatan kepada semua pihak yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur dan peraturan berkaitan.

Operasi itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button