Pemandu treler rempuh rumah
KUANTAN – Pemandu treler yang merempuh sebuah rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan hari ini sehingga menyebabkan dua beradik maut, dipercayai di bawah pengaruh dadah.
Ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu treler positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mangsa Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 21, meninggal dunia di hospital jam 1.30 tengah hari.
Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 60 dan 54 tahun serta seorang rakan kepada Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun cedera ringan.
Siasatan awal kemalangan jam 4.15 pagi mendapati treler dipandu lelaki berusia 40 tahun, dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.
“Di tempat kejadian, kenderaan dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan, sehingga merempuh sebuah rumah.
“Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi mangsa dalam rumah cedera dan dibawa ke Hospital Pekan.
“Bagaimanapun, pada jam 1.30 tengah hari ini (semalam), Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, pemandu treler akan direman esok sebaik dibenarkan keluar hospital.