Aksi atlet Israel disiar secara tidak sengaja di RTM – Suhaimi
KUALA LUMPUR – RTM menjelaskan perlawanan membabitkan atlet Israel menentang Nepal melalui Saluran Olimpik 4 RTMKlik disiarkan secara tidak sengaja disiarkan kurang daripada lima minit.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, walau bagaimanapun, RTM telah mengambil tindakan segera menukar siaran ke acara lain iaitu acara bola baling.
“RTM selaku Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia secara langsung di Saluran Okey pada 31 Julai 2024 pukul 8.50 malam hingga 9.30 malam (MyTV, Astro & RTMKLIK),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, RTM menyiarkan secara langsung Sukan Olimpik melalui dua saluran utama iaitu Saluran TV Okey dan Saluran Sukan dan enam saluran khas di RTMKlik.
Katanya, langkah itu bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik dengan lebih dekat bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos ini.
Semalam Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan RTM memberikan penjelasan berhubung penyiaran perlawanan membabitkan pemain Israel di saluruan RTM.
Ia selepas terdapat penonton yang mempersoalkan tindakan RTM itu yang disifatkan tidak wajar dan tidak sensitif.