Konflik Ukraine: Russia puji pendirian Malaysia tidak berpihak
KUALA LUMPUR – Russia memuji Malaysia susulan pendirian kerajaan yang tidak berpihak terhadap konflik Ukraine, kata Menteri Luarnya, Sergey Lavrov.
“Kami bercakap mengenai Ukraine. Kami berterima kasih kepada rakan-rakan Malaysia mengenai kedudukan dan objektif mereka, hasil daripada pemahaman punca krisis ini yang berkembang akibat tindakan Barat untuk menarik Ukraine ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan mengubahnya,” kata Lavrov, memetik laporan Sputnik.
Selain itu, Lavrov turut menjemput rakan sejawatannya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk melakukan lawatan ke Russia dan menjangkakan untuk meneruskan perbincangan pada masa hadapan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu di Seri Perdana.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar memaklumkan bahawa Malaysia telah menghantar surat permohonan bagi menyertai organisasi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Rusia selaku Pengerusinya.
Perdana Menteri turut menegaskan hubungan sedia ada Malaysia perlu dipertingkat dan diperkukuh terutama dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya.
“Perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin dengan kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain Negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini,” ujar Anwar.