Imigresen tumpaskan dua sindiket pelacuran wanita warga asing
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan dua sindiket pelacuran warga asing dalam satu operasi khas di tujuh lokasi di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Seri Kembangan, Selangor.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi khas pada 24 dan 25 Julai itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.
Katanya, pihak Imigresen berjaya menahan 117 orang terdiri daripada 10 lelaki warganegara Malaysia disyaki
sebagai penjaga premis, 48 wanita Vietnam, 34 wanita Indonesia, tiga wanita Bangladesh, 18 lelaki Bangladesh, 3 lelaki Vietnam dan seorang lelaki Nepal dalam operasi berkenaan.
“Semakan awal mendapati, sembilan wanita Vietnam, tujuh wanita Indonesia, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Nepal yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku
“Manakala 14 wanita Vietnam, lima wanita Indonesia dan tiga lelaki Bangladesh didapati telah tinggal lebih masa.
“Warganegara asing lain yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut merampas satu unit telefon bimbit, satu unit tablet, 23 naskhah pasport Vietnam, 12 naskhah pasport Indonesia, lima naskhah pasport Bangladesh, satu naskhah pasport Nepal dan wang tunai sebanyak RM7,055.00.
“Semasa serbuan dilakukan, wanita warganegara asing telah bersembunyi di bilik rahsia dan terdapat pelanggan warganegara asing serta warga tempatan cuba melakukan provokasi tetapi pasukan operasi berjaya menemukan tempat persembunyian juga mengawal keadaan di dalam premis tersebut,” katanya lagi.
Beliau kemudiannya menjelaskan, modus operandi dua sindiket tersebut adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan gadis pelayan kepada warga tempatan dan warga asing.
“Pelanggan akan hadir ke premis dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog dan kalungan kain
yang diberikan.
“Bayaran secara tunai atau dalam talian, antara RM400 hingga RM900 bagi setiap satu jam akan dibayar kepada penjaga premis sebelum wanita warganegara asing itu diserahkan kepada pelanggan,” katanya lagi.
Kesemua warganegara asing berkenaan ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Manakala 10 lelaki warganegara Malaysia ditahan dibawah Sek. 56(1)(d) dan Sek.55E Akta Imigresen 1959/63, diikuti seramai 10 lelaki warganegara Malaysia dan dua lelaki Bangladesh diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.