Muhammad Alif Monjani didakwa atas tuduhan bunuh Nur Farah Kartini
HULU SELANGOR – Anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini atas tuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.
Memetik laporan BH Online, tertuduh berusia 26 tahun itu didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terbabit di ladang SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam di antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.
Dia didakwa melakukan pembunuhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik kertas pertuduhan dibacakan kepada di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, kerana kes itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Harun dan Muhammad Azri Zakaria, sementara peguam Aida Zainuddin dan Aida Md Jaafar mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan kes, sementara menunggu penyerahan laporan forensik (laporan DNA dan laporan syarikat telekomunikasi).
Ketika dibawa keluar dari mahkamah, seorang anggota keluarga tertuduh dilihat mengangkat tangan tanda memberi semangat kepada Muhammad Alif.
Keluarga tertuduh yang ditemui di perkarangan mahkamah, berkata mereka dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang komen oleh peguam.
Sementara itu wakil keluarga mangsa, berkata mereka bersyukur dengan perkembangan kes dan berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan oleh polis.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah di sini pada jam 9.04 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian baju T serta seluar hitam, sambil dikawal rapi oleh anggota polis.
Masing-masing seorang wakil daripada keluarga mangsa dan keluarga tertuduh juga dilihat memasuki kamar mahkamah sejurus suspek dibawa masuk.
Lebih 30 pengamal media telah memenuhi pekarangan mahkamah bermula seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan pendakwaan.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan suspek yang juga seorang anggota polis akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Hussein juga dipetik berkata, siasatan kes itu telah selesai, dan perselisihan perhubungan dipercayai adalah punca gadis kelahiran Sarawak itu dibunuh.
Pada 15 Julai lalu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga dikatakan kenalan kepada mangsa.