Sultan Selangor rasmi Hospital Cyberjaya
CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya, di sini.
Berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hospital Cyberjaya yang dibina dengan kos RM508.8 juta itu bakal memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di daerah Sepang dan sekitarnya.
Selain itu, pembinaannya juga dapat membantu mengurangkan kesesakan dan kadar penggunaan katil di hospital berdekatan terutama di Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.
Hospital Cyberjaya, yang mula beroperasi pada 11 November tahun lalu, merupakan hospital pakar major dengan 14 disiplin kepakaran.
Antara disiplin kepakaran adalah Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Kecemasan dan Bius, Perkhidmatan Patologi, Radiologi serta Diet dan Sajian.
Mula dibina pada 15 Ogos 2017 di tapak seluas 4.9 hektar, projek tersebut merupakan sebahagian daripada pembangunan yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
Ia mempunyai kapasiti 288 katil dan dilengkapi lapan dewan bedah termasuk dua untuk kepakaran Oftamologi serta pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT).
Hospital itu juga mempunyai sepuluh bilik bersalin untuk keperluan penduduk setempat dan turut dilengkapi dengan satu unit mesin CT-Scan.
Selain itu, Hospital Cyberjaya adalah hospital pertama di negara ini yang bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuk.