Beg tangan dipercayai milik Farah Kartini ditemui di Sungai Trolak
KUALA LUMPUR – Polis menemui sebuah beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan, di Sungai Trolak Kampung Batu, Perak, hari ini.
Penemuan bukti itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
“Ya. Beg wanita dipercayai kepunyaan mangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Media semalam melaporkan operasi pencarian baki bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini diteruskan di sebuah lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Hussein berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.
Pada hari yang sama, Hussein turut mengesahkan pihaknya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.