Pau Marti isi kerusi pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, hari ini mengumumkan penolong ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente, 41, dari Sepanyol, akan mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan.
Yusoff berkata, beliau menggantikan bekas ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang baru sahaja meletakkan jawatannya dan akan dibantu oleh penolong ketua jurulatih kebangsaan, E. Elavarasan.
“Untuk makluman semua, Pan Gon telah berjumpa dengan pihak pengurusan FAM untuk menyatakan hasrat beliau memendekkan tempoh kontraknya.
Beberapa pertemuan diadakan selepas itu, di mana kami cuba memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula keputusannya.
“Namun, pada akhirnya, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM menghormati keputusan beliau dan bersetuju untuk melepaskannya dengan persetujuan bersama, meskipun beliau masih mempunyai kontrak dengan FAM sehingga Disember 2025,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, serta Bekas Ketua Jurulatih, Kim Pan-Gon.
Menurut beliau, staf-staf kejurulatihan lain seperti penolong jurulatih, Park Bobae, jurulatih penjaga gol, Cho Junho, jurulatih kecergasan, Jihyeon Park, dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun akan terus kekal membantu Pau Marti dan Elavarasan dalam skuad Harimau Malaya berdasarkan kontrak masing-masing.
“Tugasan pertama Pau Marti sebagai pemangku ketua jurulatih Harimau Malaya ialah mengemudi pasukan dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September ini.
Katanya, pertandingan tersebut akan disertai oleh tiga pasukan lain iaitu Tajikistan, Lebanon dan Filipina.
Dalam pada itu katanya, pasa masa yang sama, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM akan terus menilai dan memantau prestasi skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pau Marti.
“Terutama menjelang Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 pada November dan Disember ini serta Kelayakan Piala Asia 2027 yang bermula Mac depan,” jelas beliau.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dari Republik Korea mengumumkan perletakkan jawatannya kerana komitmen peribadi.
“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej yang sedih kepada semua. Saya telah memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Malaysia atas sebab peribadi.
“Saya minta maaf atas kedukaan ini dan memberi kesan kepada semua. Sejak saya hadir pada tahun 2022, rakyat Malaysia memberikan saya pengalaman yang indah kepada saya,” katanya.