Ugut Rajeswary: Polis tahan seorang wanita
PETALING JAYA – Polis menahan seorang wanita kerana disyaki melakukan ugutan dan fitnah terhadap seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Rajeswary atau Esha.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang Sabtu lalu berhubung ugutan melalui media sosial terhadap Esha.
Semasa pengadu katanya berada di Jalan Ipoh, ibu negara terlihat dua hantaran di media sosial daripada dua akaun berbeza mengenai ugutan dan fitnah terhadap Esha pada jam 10.15 malam, 30 Jun dan 4.10 pagi keesokannya.
“Kedua-dua akaun media sosial itu menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik selain turut mengandungi ugutan dan kata-kata kesat terhadap mangsa.
“Siasatan polis kemudian mendapati tohmahan terhadap mangsa telah dipadamkan oleh pemilik akaun,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Hasil siasatan, polis menahan seorang wanita berusia 35 tahun di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor jam 1.45 pagi tadi.
Katanya, suspek direman tiga hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Tegas ACP Ahmad Sukarno, orang ramai diminta tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel atau kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran serta keresahan dalam kalangan masyarakat.
Esha sebelum ini dilapor meninggal dunia akibat menjadi mangsa buli siber menerusi hantaran dalam laman TikTok miliknya.