Tarikh akhir hantar borang B dianjak kepada 15 Julai – LHDN
CYBERJAYA – Tarikh akhir untuk mengemukakan Borang Nyata Tahun Taksiran 2023 bagi pembayar cukai yang menjalankan perniagaan dianjak sehingga 15 Julai ini.
Menurut kenyataan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), individu pemastautin yang menjalankan perniagaan perlu mengemukakan borang itu sebelum atau pada tarikh yang telah diwartakan itu.
“Bagi perkongsian dan individu pemastautin bukan warganegara, individu bukan permastautin dan individu bukan permastautin (pekerja berpengetahuan) serta pertubuhan dan harta pusaka tarikh akhir pengemukaan borang nyata selepas tambahan masa diberikan adalah pada 15 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pengemukaan borang itu melalui e-Filing perlu dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Borang nyata yang dikemukakan selepas tarikh akhir akan dianggap diterima dalam tempoh yang diberi,” tambahnya.
Ujarnya, tambahan masa yang diberikan juga terpakai untuk bayaran baki cukai di bawah subseksyen 103(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi borang nyata (kecuali Borang P) yang dikemukakan melalui e-Filing.
“Pembayar cukai dinasihatkan untuk merujuk kepada panduan pengemukaan e-Borang yang boleh diakses melalui pautan yang disediakan oleh LHDN untuk memastikan kepatuhan terhadap panduan cukai.
“Pembayar cukai disarankan untuk mengemukakan e-Borang dan membuat pembayaran dalam tempoh yang telah ditetapkan untuk mengelakkan sebarang penalti dan kenaikan cukai.
“Pastikan maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini diisi untuk kelancaran proses bayaran balik cukai (sekiranya ada),” jelasnya lagi.