Berita Semasa

Banjir di Penampang: Ewon sumbang RM50,000

PENAMPANG – Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick bersetuju menyumbang 300 bakul makanan tambahan bernilai RM30,000 kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasannya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, sumbangan itu adalah tambahan kepada 200 bakul makanan yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang.

“Saya meminta Pusat Khidmat saya menyediakan tambahan 300 bakul makanan bernilai RM30,000 untuk dihantar ke rumah-rumah mangsa memerlukan bantuan.

“Penghantaran akan diselaraskan oleh jawatankuasa bencana,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini, hari ini.

Ewon bertemu mangsa banjir di PPS Penampang, hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Penampang meningkat kepada 165 orang.

Semalam, dalam lawatan Ewon ke PPS Penampang, beliau menyampaikan bantuan segera RM20,000 kepada Jawatankuasa Bencana Daerah untuk keperluan berkaitan operasi menyelamat dan keperluan lain di pusat pemindahan bencana itu.

Dalam pada itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Sekolah Menengah (SM) St.Micheal Penampang untuk pembaikan dan pembersihan kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Selepas melawat mangsa banjir di PPS, saya luangkan masa melawat sekolah lama saya, SM St Michael dan berjumpa dengan Pengetua dan guru-guru.

“Saya menyumbangkan RM20,000 untuk pembersihan dan baik pulih kawasan sekolah ini,” katanya.

Ewon turut melawat beberapa rumah penduduk kampung yang tidak sempat berpindah semalam dan melihat sendiri kerosakan akibat banjir.

“Mereka mengatakan ini adalah bencana banjir terburuk selepas kejadian banjir tahun 1999,” katanya yang menaiki kenderaan Kelab 4×4 WRS ketika meninjau beberapa laluan yang masih ditenggelami air.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang meluangkan masa melawat PPS dan beberapa kampung di daerah itu.

“Saya dimaklumkan Ketua Menteri telah menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga yang dipindahkan ke PPS.

“Ketua Menteri juga bersetuju menyalurkan peruntukan membekalkan kelengkapan dapur gas kepada keluarga yang tidak sempat berpindah. Ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang,” katanya.

Berkenaan dengan bekalan elektrik di Poliklinik Penampang, Ewon berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Sabah Elektric Sdn Bhd (SESB) menghantar genset untuk memulihkan kembali bekalan elektrik di situ

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk pimpinan kerajaan negeri, agensi, jabatan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) atas semangat kerja berpasukan dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

Show More

Related Articles

Back to top button