Hiburan

20 Julai ini tidak dibenarkan diadakan konsert artis luar negara – JK-PUSPAL

PUTRAJAYA – Persembahan konsert artis luar negara dan persembahan luar negara berskala besar tidak dibenarkan untuk diadakan pada 20 Julai ini.

Menurut Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL), ia berikutan tarikh tersebut bertindih dengan tarikh Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Berdasarkan Garis Panduan PUSPAL (GPP), perkara 16.1(f) menyatakan mengenai tempoh larangan mengadakan persembahan konsert artis luar negara dan persembahan luar negara berskala besar, iaitu penganjur adalah tidak dibenarkan untuk mengadakan persembahan konsert dan persembahan berskala besar pada hari-hari lain yang diputuskan tidak sesuai oleh kerajaan atau kerajaan negeri mengikut mana-mana yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, JK-PUSPAL yang dianggotai 16 jabatan dan agensi kerajaan telah menerima sebanyak lima permohonan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara pada tarikh itu.

Sehubungan dengan itu, katanya, penganjur dinasihat untuk tidak mengadakan konsert tersebut pada tarikh itu sebagai menghormati Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Maka itu, penganjur konsert yang terlibat dinasihat untuk meminda tarikh penganjuran
konsert dan mengadakannya pada tarikh baharu yang bersesuaian seperti yang
ditetapkan dalam GPP.

“Untuk maklumat lanjut, JK-PUSPAL boleh dihubungi melalui talian 03-89115355/5384 atau e-mel puspal@komunikasi.gov.my,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button