Lelaki OKU cedera di leher selepas dikelar penyerang
KLUANG – Seorang lelaki kurang upaya cedera parah di leher selepas dipercayai dikelar penyerang bersenjatakan pisau lipat di sebuah kedai runcit di Taman Kluang Barat, di sini semalam.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian serangan berkenaan setelah menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 1.50 petang.
“Setibanya di tempat kejadian, kami menemui seorang lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian leher.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom bagi menerima rawatan,” katanya dalam satu kjenyataan, hari ini.
Beliau kemudiannya menambah, siasatan anggota Jabatan Siatan Jenayah di lokasi berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat.
“Bertindak atas maklumat, suspek yang berusia 45 tahun berjaya ditahan di sebuah stesyen minyak di Taman Bersatu dekat sini pada pukul 6.17 petang,” katanya.
Beliau menambah, suspek yang didapati positif dadah jenis morfin ketika pemeriksaan, turut mengaku mengelar mangsa dengan sebilah pisau lipat ketika disoal siasat.
“Suspek didapati memiliki rekod jenayah dan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.