Berita SemasaPM X

PM bertemu MPBPP bincang pembangunan bumiputera

SEBERANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perjumpaan Khas dengan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) di sebuah hotel, di sini semalam.

Menurut Perdana Menteri, perjumpaan itu diadakan bagi mendengar sendiri mengenai perkembangan kemajuan pelbagai projek merangkumi bidang perumahan dan hartanah pendidikan dan kemahiran, ekonomi keusahawanan dan industri makanan, pembangunan keluarga dan masyarakat termasuk bidang warisan dan pelancongan yang penting untuk sosioekonomi di peringkat negeri.

“Saya menyeru semua pihak bekerjasama untuk menjayakan semua projek keutamaan di negeri dengan tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara silo.

“(Pada masa yang sama) MPBPP disaran untuk menyelaraskan semua program pembangunan Bumiputera bersama agensi-agensi dan institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Selain daripada itu, agensi-agensi persekutuan hendaklah berkerja rapat bersama-sama pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dalam menjayakan program-program Bumiputera di negeri Pulau Pinang,” kata Anwar dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Selain pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan Persekutan dan Negeri, hadir sama dalam perjumpaan tersebut adalah ketua-ketua agensi di peringkat persekutuan dan peringkat negeri yang terlibat, wakil-wakil Majlis Guru Besar, persatuan belia dan mahasiswa dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA Permatang Pauh dan Politeknik Seberang Perai.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengambil peluang mendengar sendiri pandangan, idea baharu dan cadangan daripada wakil-wakil belia dan mahasiswa.

“Saya sangat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi peringkat persekutuan dan di peringkat negeri dalam usaha memperkasak program pembangunan Bumiputera di Pulau Pinang merentasi banyak bidang dan keperluan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button