Bekas ADUN Nenggiri fail saman bantah keputusan Speaker DUN Kelantan
KOTA BHARU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim sudah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon pengisytiharan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, berhubung kekosongan kerusi disandangnya adalah terbatal dan tidak sah.
Sumber berkata, pihak peguam memfailkan saman berkenaan lewat malam tadi dan mahkamah menetapkan 9 Julai ini sebagai tarikh pengurusan kes.
“Selain membantah keputusan Speaker, saman berkenaan difailkan bagi mendapatkan pelbagai injuksi interlokutori dan pelepasan termasuk pengumuman bahawa terdapat kekosongan kerusi DUN Nenggiri, dihentikan.
“Pada masa sama, Azizi juga memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil sebarang langkah lanjut berhubung dengan surat yang dikeluarkan oleh Speaker DUN Kelantan kepadanya sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai permohonan yang dibuat.
“Permohonan ini akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada esok (27 Jun) jam 4.30 petang,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang hilang keahlian daripada BERSATU.
Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri esok bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, Mohd Azizi ketika dihubungi mengesahkan sudah memfailkan saman dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan susulan.