Luar Negara

Puluhan ribu penunjuk perasaan desak PM Israel adakan PRU

TEL AVIV – Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv semalam sambil melaungkan slogan menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Himpunan ini disifatkan sebagai yang terbesar setakat ini, yang diadakan penduduk Israel bagi menuntut pilihan raya umum (PRU) baharu dan mendesak pembebasan tebusan yang diculik dan masih ditahan di Gaza sejak 7 Oktober lalu.

Perhimpunan seumpamanya turut diadakan di bandar besar serata Israel setiap minggu bagi membantah cara Netanyahu mengendalikan perang dengan Hamas, yang kini hampir memasuki sembilan bulan sejak 7 Oktober tahun lepas.

Ramai penunjuk perasaan membawa sepanduk yang tertera ‘Menteri Penjenayah’ dan ‘Hentikan Perang’ ketika orang ramai memasuki jalan utama di bandar terbesar Israel itu.

“Semua di Knesset (parlimen Israel) hanya menikus dan mendiamkan diri. Saya tidak mempercayai seorang pun daripada mereka. Mereka ini tidak layak, walaupun bagi mengawal tadika,” kata kontraktor, Shai Erel yang berusia 66 tahun, lapor AFP.

Pertubuhan Protes Antikerajaan Hofshi Israel menganggarkan lebih 150,000 orang menghadiri perhimpunan itu, menyifatkannya sebagai yang terbesar sejak perang Gaza tercetus.

Beberapa penunjuk perasaan dilihat berbaring di atas tanah dengan dilumuri cat merah di Dataran Demokrasi di bandar itu sebagai tanda protes ‘kematian demokrasi negara itu’, di bawah pimpinan Netanyahu.

Dalam ucapan kepada orang ramai, bekas ketua Agensi Keselamatan Domestik Israel, Shin Bet, Yuval Diskin, turut mengutuk Netanyahu sebagai ‘Perdana Menteri paling teruk’ Israel.

Ramai yang kecewa dengan gabungan sayap kanan negara itu termasuk Menteri Keselamatan, Itamar Ben Gvir dan ultra nasionalis sayap kanan lain, yang didakwa memanjangkan perang di Gaza dan meletakkan keselamatan negara dan tebusan dalam risiko.

Show More

Related Articles

Back to top button