Melaka ‘trending’ di China selepas Fan Bingbing dipilih jadi duta pelancongan
MELAKA – Pemilihan Fan Bingbing sebagai duta pelancongan mesra Melaka ternyata sudah menampakkan hasil selepas bandaraya bersejarah itu menjadi ‘trending’ di media sosial warga China.
Pengurus perhubungan awam Fan, Jersey Chong berkata, berdasarkan statistik terkini daripada WeChat China, carian untuk ‘Melaka’ menyaksikan lebih 320 juta carian dalam tempoh dua hari.
Beliau berkata, ‘Fan Bingbing’ memperoleh 334,883,965 carian diikuti ‘Melaka’ dengan 165,082,653 carian di aplikasi China pada 14 Jun.
Sementara itu, pada 15 Jun, ‘Fan Bingbing’ mempunyai 461,138,243 carian dan ‘Melaka’ mempunyai 161,972,679 carian.
“Sebagai perbandingan, carian untuk ‘Festival Filem Antarabangsa Shanghai’ mempunyai 2,280,795 di WeChat, manakala ‘Majlis Anugerah Filem Weibo 2024’ memperoleh 3,472,115 dalam tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Fan dilantik untuk mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan mempromosikan negeri itu sebagai destinasi ideal buat pelancong.
Sebagai rekod, Fan, yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China sebaris dengan X) dan 4.1 juta pengikut di Instagram, sering digambarkan sebagai wajah budaya China di pentas global.
Beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood ‘X-Men: Days of Future Past’.
Selain itu, pada tahun 2017, Fan menghiasi muka depan majalah Time dan dinamakan sebagai satu daripada 100 Orang Paling Berpengaruh.