Pesawat Malaysia Airlines terpaksa buat pendaratan cemas, dipercayai akibat kerosakan enjin
NEW DELHI – Sebuah pesawat Malaysia Airlines dilaporkan terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Hyderabad, India selepas mengalami kegagalan enjin, awalpagi tadi (waktu tempatan).
Menurut laporan Times of India, penerbangan MH199 yang membawa 138 penumpang itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi menuju Kuala Lumpur ketika insiden berlaku.
Pesawat tersebut berlepas pada pukul 12.45 tengah malam tadi (waktu tempatan), namun berpatah balik ke lapangan terbang berkenaan dan mendarat cemas disebabkan masalah tersebut.
Difahamkan, pesawat itu mengalami kerosakan enjin dan percikan api dilihat keluar daripada enjin yang terjejas.
Penumpang dilaporkan terkandas di lapangan terbang berkenaan ketika pesawat masih berada di situ.
Sementara itu, laman berita NDTV melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat punca kegagalan enjin itu, manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan.