Yayasan Real Madrid perkenal program pendidikan bola sepak
KUALA LUMPUR – Yayasan Real Madrid terus menunjukkan komitmen dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak apabila bakal memperkenal program pendidikan bola sepak tersendiri bermula Oktober ini.
Presiden Winner Takes All Dr V. Nathan yang juga penganjur bersama Klinik Yayasan Real Madrid berkata Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) dipilih bagi pelaksanaan program itu yang menggabungkan pendidikan nilai berkaitan sukan serta latihan bola sepak.
“Matlamatnya untuk menyemai nilai murni di samping meningkatkan kemahiran bola sepak peserta. Mereka boleh memilih menyertai program berkenaan seminggu sekali atau dua minggu sekali dan akan dilatih oleh jurulatih daripada Real Madrid, justeru tidak perlu lagi menunggu klinik bola sepak berkala datang ke Kuala Lumpur.
“Program ini terbuka kepada kanak-kanak di bawah umur 18 tahun baik lelaki atau perempuan dengan kadar RM360 untuk sebulan. Ia akan menerapkan metodologi digunakan pasukan Real Madrid,” katanya memetik Bernama hari ini.
Sementara itu, seramai 135 kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun menyertai klinik bola sepak tersebut menerusi dua sesi yang berlangsung pada 11 hingga 13 Jun lepas dan sesi kedua yang bermula hari ini hingga Isnin.