Tangan kiri Faisal Halim mengelupas teruk, tidak dapat diangkat dengan sempurna
SHAH ALAM – Selepas lebih sebulan insiden disimbah asid, pemain Selangor FC, Faisal Halim tampil buat pertama kali dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Selangor FC, di sini hari ini.
Faisal yang berpakaian kemeja lengan pendek Selangor FC ditemani Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar hadir ke pusat itu kira-kira pukul 2.30 petang.
Pakaian yang dipakainya itu menampakkan dengan jelas kesan melecur yang teruk di bahagian tangan kirinya dan sepanjang pemerhatian pihak media tangan kirinya itu tidak dapat diangkat dengan sempurna.
Malah terdapat juga kesan melecur dan mengelupas di bahagian muka penyerang Harimau Malaya itu.
“Kalau boleh saya tak nak ingat insiden ini. Pertama kali waktu mula-mula kena saya rasa panas dan pedih dan saya tahan kesakitan itu. Ada yang datang pada saya ketika itu kata tak bahaya dan saya kata ok. Kemudian bila dah berlaku rupanya benda ini sangat-sangat bahaya dan luar biasa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya lagi, selepas insiden itu, berat badannya susut sebanyak empat kilogram (kg) dan terpaksa bergantung kepada isteri dan keluarganya untuk menguruskan dirinya termasuk untuk makan dan ke tandas.
Namun katanya, berat badannya kembali normal iaitu 51 kg selepas sebulan insiden itu.
Ketika ditanya sama ada penglihatannya turut terjejas selepas dilihat menggunakan cermin mata untuk membaca kenyataan media, Faisal berkata, dia hanya mengalami masalah rabun dekat.
“Melihat ok, main bola ok, cuma nak baca nampak halus sikit tak ada masalah dengan penglihatan saya, untuk baca perlu pakai cermin mata,” katanya.