SPM: Prestasi Bahasa Melayu, Sejarah meningkat
PUTRAJAYA – Prestasi pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menunjukkan peningkatan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) dan Sejarah dengan calon yang gagal subjek itu berkurangan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, terdapat penurunan dalam jumlah calon yang gagal dalam BM, iaitu sebanyak 0.1 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya manakala, jumlah pelajar yang tidak berjaya dalam mata pelajaran Sejarah turut menurun sebanyak 2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dari data yang diperoleh, kita dapati bahawa jumlah pelajar yang tidak lulus dalam BM pada tahun lalu adalah sebanyak 2.5 peratus, manakala bagi mata pelajaran Sejarah, jumlahnya adalah 5.6 peratus,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah beliau, walaupun penurunan ini kelihatan sederhana, namun ia merupakan satu perkembangan yang positif dalam prestasi pelajar.
Katanya, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi kedua-dua mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan yang membanggakan.
“Mata pelajaran BM pada tahun 2022 mencatatkan GPMP sebanyak 3.95, manakala pada tahun 2023, ia meningkat sedikit kepada 3.86. Begitu juga dengan mata pelajaran Sejarah, di mana GPMP pada tahun 2022 adalah 4.65 dan pada tahun lalu, ia meningkat sedikit kepada 4.63,” katanya.
Kah Woh menekankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius prestasi pelajar SPM dalam semua mata pelajaran.
“Langkah-langkah tambahan akan diambil untuk memastikan penambahbaikan dalam proses pembelajaran bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar.
“Ini adalah usaha yang dijalankan untuk memastikan setiap pelajar mencapai potensi maksimum dalam peperiksaan SPM,” katanya.