Berita Semasa

KPT setuju batalkan cadangan gabungkan Fakulti MassComm dengan Sains Komputer UiTM

SHAH ALAM – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju membatalkan cadangan penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dengan Fakulti Sains Komputer & Matematik dan Fakulti Sains Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Husaini Omar berkata, ini susulan daripada bantahan dan kementerian memutuskan supaya FKPM tidak digabungkan seperti yang pernah diumumkan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor pada Oktober lalu.

“Kementerian sudah memperhalusi cadangan dan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak sejak isu penggabungan ini dibawa ke perhatian saya dan merasakan ia tidak harus dilengahkan lagi,” katanya dalam satu mesyuarat bersama wakil pengurusan tertinggi UiTM dan Persatuan Alumni Masscomm UiTM, hari ini.

Oktober lalu, Persatuan Alumni Masscomm UiTM membantah penggabungan FKPM dengan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) menjadi entiti baharu yang dikenali sebagai Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Masscomm, Basree Rakijan berkata, persatuannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPT yang telah memberikan reaksi positif terhadap bantahan yang yang disuarakan persatuan itu baru-baru ini.

“FKPM yang telah 50 tahun ditubuhkan merupakan satu fakulti yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ia perlu diperkasakan lagi terutama di era komunikasi digital yang begitu mencabar ini.

“Alumni akan terus berkerjasama dengan FKPM bagi melaksanakan beberapa program yang telah dikenalpasti demi mempastikan jaringan industri-universiti diperkemas dalam usaha melahirkan graduan FKPM yang lebih berwibawa,” tambah Basree lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button