Berita Semasa

Rakyat Malaysia berusia 65 tahun takluk ABC Nepal

KUALA LUMPUR – Seorang pengusaha restoran, Mohamed Sharafath Muneer membuktikan usia 65 tahun bukan halangan untuk ‘menawan’ Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut kelmarin.

Bapa kepada lima anak itu yang berasal dari Puchong tiba di kem berkenaan selepas empat hari mendaki bermula seawal pagi hingga ke malam sebelum mendaki pulang selama dua hari kembali ke Pokhara iaitu lokasi permulaan ekpedisi.

Beliau memberitahu, ABC bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal malah mental juga memainkan peranan utama untuk mengakhiri misi tersebut.

“Ekspedisi ini amat mencabar kerana satu ketika saya hampir tidak berdaya lagi untuk berjalan namun saya berjaya mencabar diri untuk sampai ke kem pangkalan ini.

“Selain itu, ABC ini juga memiliki altitud tinggi di mana berbeza jika dibandingkan dengan gunung-gunung yang terdapat di Malaysia namun persediaan saya yang sering membuat latihan di Bukit Wawasan, Puchong banyak membantu saya menamatkan ekpedisi ini,” katanya.

Mohamed Sharafath Muneer.

Mohamed Sharafath antara 19 rakyat Malaysia yang berjaya melakar sejarah tersendiri apabila selamat tiba di ABC selepas mengharungi keadaan cuaca sejuk dan berangin.

Turut mencatat kejayaan sama adalah enam pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu lima dari Bukit Aman dan seorang dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Mereka menyertai ekspedisi kendalian anjuran Ohana Travel And Tours Sdn. Bhd. selama enam hari yang membabitkan pendakian ABC di Nepal pada ketinggian keseluruhan membabitkan 4,310 meter dari aras laut.

ABC menjadi antara impian golongan pendaki kerana menawarkan pemandangan luar biasa sepanjang pendakian namun perlu mendaki selama lapan jam sehari dan berdepan ratusan anak tangga selain kem itu memilik altitud tinggi yang menyebabkan peserta mudah diserang penyakit akut gunung (AMS).

Mengulas lanjut, Mohamed Sharafath memberitahu, walaupun sudah dikategorikan sebagai warga emas, beliau hanya mula aktif mendaki sejak lima tahun.

Katanya, antara gunung yang sudah ditakluk di Malaysia adalah Gunung Kinabalu selain melibatkan diri dalam aktiviti senaman seperti boxing dan latihan berat.

“Kita tidak akan tahu tahap kebolehan diri sendiri sekiranya enggan mencuba. Apatah lagi untuk sampai ke ABC, keadaan cuaca yang berubah-ubah cukup menguji kesabaran saya dan peserta lain.

Kem Pangkalan Annapurna antara impian golongan pendaki kerana menawarkan pemandangan luar biasa sepanjang pendakian.

“Sebenarnya usia bukan penghalang untuk kita kekal aktif mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Sementara seorang pendaki wanita, B. Cithra, 40, berkata, kejayaan misi tersebut membuktikan golongan itu juga mampu melakukan kegiatan ekstrem dan mencabar itu setanding golongan lelaki.

“Kami bukan sahaja membawa nama wanita, tetapi juga nama Malaysia di luar negara bagi menunjukkan sumbangan kepada negara selain memperkasa golongan wanita untuk masa hadapan.

“Ini pengalaman pertama saya ke ABC dan sudah tentu semua teruja untuk menamatkan misi ini dengan selamat walaupun berdepan cuaca sejuk dan berangin selama enam hari ekspedisi,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Show More

Related Articles

Back to top button