Jenayah & Mahkamah

Polis tumpaskan sindiket Love Scam sasar warga AS

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket panggilan penipuan ‘Love Scam’ dan judi dalam talian selepas menahan 12 individu dalam satu serbuan di sebuah kediaman, di sini pada 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia di antara 18 hingga 43 tahun.

Menurutnya, suspek terbabit beroperasi sebagai ejen pusat panggilan di mana mereka menerima gaji RM2,500 sebulan serta empat peratus komisyen daripada jumlah kerugian dialami mangsa.

“Siasatan mendapati sindiket ini mensasarkan mangsa di negara Amerika Syarikat (AS) dan aktif sejak April lalu.

“Sindiket ini akan mencipta akaun palsu di Facebook dan Instagram, seterusnya berkenalan dengan mangsa rakyat AS sebelum mangsa ditawarkan pautan judi dalam talian,” katanya memetik laporan BH.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Jelas Ramli, mangsa yang bermain judi menggunakan pautan itu akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan.

Dalam pada itu, serbuan menerusi Operasi Khas 30/24 itu berjaya merampas seutas rantai manik, lima cincin, enam beg silang, seutas rantai leher dan sejumlah mata wang.

Turut dirampas adalah sembilan komputer riba, 33 telefon bimbit, sebuah router dan modem serta dua jam tangan mewah.

Kini, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap sindiket tersebut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, kata Ramli.

Show More

Related Articles

Back to top button