Pasangan tular bawa bayi tunggang motosikal pakai alat pernafasan hilangkan diri
ALOR SETAR – Pasangan yang tular membawa bayi lelaki berusia 11 bulan menunggang motosikal dengan memakai alat pernafasan yang tular baru-baru ini sehingga menarik perhatian seluruh negara dipercayai telah menghilangkan diri.
Pengerusi Qariah Masjid Al Maarufi, Seberang Kota Kuala Kedah, Muhammad Hazamer Mualim, berkata pihaknya turut memantau kawasan rumah lelaki berusia 35 tahun itu, namun didapati dia gagal dikesan.
Beliau berkata, hanya ibunya yang menghidap angin ahmar berada di rumah itu seorang diri dengan dipantau jiran berhampiran.
“Pejabat Agama Daerah sudah memberi kebenaran supaya saya memaklumkan kepada pasangan itu untuk menyerahkan dokumen bagi memudahkan proses pernikahan dijalankan.
“Namun sehingga ini, saya tidak menerima apa-apa dokumen daripada mereka dan mereka dipercayai sudah menghilangkan diri,” katanya memetik laporan BH Online.
Muhammad Hazamer berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menikahkan mereka tetapi perlu menyediakan dokumen lengkap sebelum melaksanakannya.
Media pada 9 Jun tahun 2016 pernah menyiarkan kisah wanita berusia 35 tahun itu bersama anak lelaki ketiganya yang ketika itu berusia lapan bulan yang menghidap pneumonia, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan asma.
Bagaimanapun, kisah wanita itu ditular semula Ahad lalu selepas dia dan pasangannya membawa anak mereka yang menghidap paru-paru kronik dengan memakai alat pernafasan menaiki motosikal ke hospital.
Rentetan itu pelbagai pihak menyalahkan komuniti setempat termasuk pihak zakat dan masjid yang tidak mengambil peduli mengenai nasib mereka.
Bagaimanapun selepas siasatan lanjut dilakukan mendapati tuduhan dilemparkan terhadap pihak agama tidak benar malah lebih mengejutkan apabila difahamkan pasangan ini belum bernikah dan sering meraih simpati orang ramai.