Rencana

Percutian berbaloi ke Pulau Weh

Pelbagai lokasi pelancongan menarik ditawarkan dan tidak membebankan poket

MOHD. HAZLI HASSAN

APABILA bercerita mengenai Indonesia, kita akan mula terbayang Pulau Bali dan Bandung dan sesekali Medan.

Tiga kota ini merupakan kota paling kerap dilawati oleh pelancong terutamanya rakyat Malaysia.

Pulau Bali yang memang terkenal sebagai kota pelancongan menawarkan pelbagai lokasi menarik untuk dilawati manakala Bandung pula menjadi destinasi membeli-belah mencari trend terkini yang murah sementara Medan terletak hampir dengan Semenanjung Malaysia.

Namun republik yang mempunyai keluasan sekitar 1.9 juta kilometer persegi itu bukan hanya ada Bali, Bandung dan Medan semata-mata.

Malah, negara dengan penduduk 279 juta itu turut mempunyai banyak lagi kota dan daerah lain yang amat sesuai untuk dijadikan lokasi pelancongan dan yang paling menarik, tidak membebankan poket.

Pantai Iboih lokasi tumpuan di Pulau Weh – Gambar ihsan Wanda Haris.

Dengan tukaran wang RM1 kepada sekitar Rupiah 3,390, pelancong Malaysia boleh dikatakan agak mewah jika melancong ke Indonesia.

Antara yang jarang dilawati dan kurang menjadi pilihan penganjur pakej pelancongan ialah ke Aceh, wilayah yang terletak di utara Pulau Sumatera.

Jika sebelum tsunami yang turut menenggelamkan sebahagian Aceh pada tahun 2004, wilayah itu terkenal dengan aktiviti Gerakan Aceh Merdeka, satu kumpulan pemisah mencari kemerdekaan untuk wilayah Aceh, dan wilayah itu juga terkenal dengan pelaksanaan undang-undang syariah.

Apapun, tsunami telah mengubah segala-galanya. GAM berdamai dengan kerajaan manakala penduduk Aceh turut bangkit dan kini menjadikan insiden ngeri itu sebagai sebahagian daripada produk pelancongan mereka.

Jika anda ke Aceh, selain pelbagai lokasi pelancongan yang ada, Pulau Weh yang terletak berhampiran dengan Banda Aceh iaitu ibu negeri Aceh, turut menjadi tumpuan.

Pulau Weh atau lebih dikenali sebagai Sabang, nama bandar terbesar di pulau berkenaan, menjadi tumpuan setiap hujung minggu tidak kira daripada pelancong domestik mahupun dari luar negara.

Perjalanan feri laju ke pulau yang berkeluasan 156.3 kilometer persegi itu hanya memakan masa selama sejam dari Pelabuhan Ulee Lheue di Banda Aceh.

Bot-bot nelayan dihiasi dengan warna-warna menarik pada majlis pelancaran Pesta Marin Sabang

Ada beberapa waktu yang boleh dipilih oleh pelancong setiap hari bermula pukul 8 pagi (waktu mungkin berubah mengikut keadaan laut) menuju ke Pelabuhan Balohan di Sabang.

Tiket feri ekspres ke Pulau Weh bermula dari Rupiah 105,000 (RM35.20) sehala dan boleh dibeli pada tarikh yang ingin anda berlepas cuma, perlu hadir lebih awal sekitar sejam sebelum waktunya.

Pulau Weh yang merupakan antara destinasi wajib lawat jika anda ke Aceh sebenarnya menyimpan banyak lokasi pelancongan unik dan masih mengekalkan keaslian alam semula jadi.

Semasa kami dijemput oleh Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang untuk menikmati pelancongan ke Aceh, dua aktiviti unik menarik minat kami.

Walaupun pada dasarnya saya ingin menyelam skuba di sini, namun kekangan masa tidak memberi peluang untuk saya menyelami dasar laut Pulau Weh yang dikenali antara lokasi selam skuba terbaik di rantau Asia Tenggara ini.

Ini berikutan, Pulau Weh yang terletak di utara Pulau Sumatera dikelilingi oleh Laut Andaman di bahagian utara, Selata Melaka di sebelah timur dan Lautan Hindi di sebelah barat.

Itulah sebabnya Pulau Weh menyimpan pelbagai spesies menarik di dasar lautannya dan menjadi pilihan banyak penyelam skuba.

Mungkin di lain masa. Namun produk pelancongan lain termasuk melawat dan berada di kawah gunung berapi yang masih aktif adalah satu pengalaman yang mengujakan.

Manakan tidak, anda akan merasai sendiri memijak dan meneroka kawah gunung berapi yang masih aktif serta melihat kesan air menggelegak yang masih mengalir.

Dikenali dengan nama Gunung Berapi Jaboi, pengunjung akan dapat melihat asap pada kawah yang dikatakan masih aktif dari kejauhan.

Malah pemandu pelancong turut mengingatkan pengunjung yang mengalami sesak nafas agar berhati-hati dan memakai pelitup muka disebabkan bau sulfur yang agak kuat.

Apa pun pengunjung tidak perlu khuatir tentang status keaktifan disebabkan Gunung Berapi Jaboi merupakan jenis C yang dikatakan tidak mempunyai sejarah letusan namun masih menunjukkan sedikit aktiviti.

Pengunjung boleh melihat asap di kawah gunung berapi yang masih aktifdi Kampung Jaboi.

Menariknya mengenai gunung berapi yang ada di Pulau Weh atau Sabang ialah, selain berada di darat, pengujung yang menyelam skuba juga boleh melihat aktiviti gunung berapi di dalam laut.

Lokasinya berada di Pantai Iboih di mana penyelam skuba boleh melihat aktiviti gunung berapi di dalam air dengan gelembong wap air panas yang keluar.

Uniknya di lokasi ini, walaupun sekitarnya agak panas, namun masih ada hidupan marin serta terumbu karang yang boleh menjadi subjek kepada jurufoto dasar laut.

Cukup mengenai Gunung Berapi Jaboi, satu lagi produk pelancongan yang wajib lawat ialah mengejar ikan lumba-lumba.

Lokasinya sama ada di Pantai Iboih atau dari Pantai Pasiran. Uniknya di Sabang ialah, kumpulan ikan lumba-lumba yang hadir adalah dalam bilangan yang banyak.

Tidak seperti di Malaysia, pengunjung yang mengikuti pakej meninjau lumba-lumba di Sabang dijamin dapat melihat aktiviti mamalia marin tersebut.

Ini dialami sendiri oleh penulis di mana selepas hanya beberapa minit melepasi Teluk Sabang menggunakan bot kayu, kami disapa oleh kumpulan lumba-lumba pertama.

Kemunculan lumba-lumba berkenaan dalam kumpulan kecil mengujakan pengunjung yang ada di atas bot. Masing-masing memenuhi tepian bot untuk melihat sendiri mamalia berkenaan.

Ikan lumba-lumba hadir dalam kumpulan yang besar dan tidak takut kepada kehadiran pelancong.

Seakan-akan boleh dicapai dengan tangan, namun renangan pantas lumba-lumba tidak memungkinkan ia berlaku.

Selepas kumpulan pertama lumba-lumba spesies bottlenose (atau mungkin spesies lain) itu keluar, terdapat lebih dari 10 kumpulan lagi melompat, berenang dan menghampiri bot-bot pengunjung yang melingkari lokasi berkenaan.

Kumpulan lumba-lumba ini dilihat seronok dengan kehadiran pelancong, berenang di tepian bot, melompat dan melakukan aksi akrobatik seolah-olah meraikan kehadiran pengunjung.

Semacam pesta mengejar lumba-lumba disebabkan setiap bot yang ada akan mengejar dan cuba untuk menghampiri kumpulan lumba-lumba berkenaan.

Menariknya, pengunjung tidak perlu melalui perjalanan yang jauh dan lama untuk melihat kumpulan lumba-lumba berkenaan dan yang paling utama, pakej yang dijual tidak membebankan poket.

Dengan harga sekitar Rupiah 500,000 (RM162) seorang, pengunjung akan ditawarkan pakej mengejar lumba-lumba, snorkeling di Taman Laut Pulau Rubiah serta makan dan minum sepanjang pakej berlangsung yang mengambil masa sekitar 4 jam.

Selepas puas ‘berlumba’ dengan lumba-lumba, anda akan dibawa pula ke Taman Laut Pulau Rubiah untuk snorkeling dengan alam marin yang dikatakan antara yang terindah di rantau ini.

Jika mengikut sejarah, Pulau Rubiah merupakan lokasi jemaah haji dikuarantinkan selepas pulang dari menunaikan ibadah haji.

Sebenarnya, Pulau Weh menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik yang boleh diterokai oleh pelancong luar mahupun domestik.

Bagi pelancong Malaysia dengan tukaran wang yang tidak membebankan berbanding jika kita ke tempat lain, Pulau Weh dan Sabang menawarkan percutian berbaloi.

Apa yang diperlukan ialah, dapatkan tawaran pelancongan daripada agen-agen pelancongan Malaysia yang sah bagi membolehkan pengalaman percutian ke Aceh dirasai dengan maksimum.

Show More

Related Articles

Back to top button