Faisal Halim dibenarkan discaj dari hospital
SHAH ALAM – Penyerang kebangsaan yany juga pemain Selangor FC, Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan.
Perkara itu disahkan oleh Selangor FC dalam satu kenyataan sebentar tadi.
“Pihak kelab dengan penuh kesyukuran ingin memaklumkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat, kesan daripada simbahan asid tempoh hari.
“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, pihak kelab ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pakar Unit Plastik dan Rekonstruktif, Dr. Wan Syazli Rodzaian Wan Ahmad Kamal; seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thomson Hospital Kota Damansara yang sentiasa komited dalam memberikan penjagaan komprehensif, serta memberi sumbangan besar kepada rawatan dan pemulihan kepada pemain itu.
“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan juga kepada keluarga besar Selangor FC, pemimpin-pemimpin negeri dan negara, badan-badan kerajaan dan swasta, komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa, dan seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan kesejahteraan dan memberi dorongan semangat kepada ikon bola sepak negara kesayangan kita.
“Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau,” ujarnya.
Sementara itu, pihak kelab dan keluarga Faisal memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.
“Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini,” katanya.