Majlis Anugerah Kredit Madani bakal diadakan 15 November ini
KUALA LUMPUR – Majlis Anugerah Kredit Madani 2024 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) buat julung kalinya akan diadakan pada 15 November depan.
Penyertaan bagi anugerah yang diadakan secara dwitahunan itu telah dibuka bermula pada 17 Mei lalu sehingga 9 Ogos 2024.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program berkenaan turut melibatkan kerjasama dari rakan strategik dengan pihak Persatuan Pemberi Pinjam Wang, Persatuan Pemegang Pajak Gadai dan pemain industri.
“Anugerah ini merupakan satu bentuk pengiktirafan atas inisiatif, usaha berterusan, tatakelola perniagaan dan perkhidmatan terbaik yang disediakan oleh Pemberi Pinjam Wang (PPW) berlesen dan Pemegang Pajak Gadai (PPG) berlesen yang layak dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
“la antara lain menunjukkan tahap profesionalisme dan pematuhan akta serta peraturan yang tinggi, memberi sokongan kewangan keusahawanan, melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebagainya,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kredit Madani (AKM) 2024 di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.
Dalam pada itu, penerima anugerah yang layak akan diberikan penghargaan dan ganjaran dalam bentuk hadiah wang tunai bernilai sehingga RM20,000 (tertakluk pada kategori), sijil penghargaan dan trofi.
Selain itu, terdapat sebanyak tujuh anugerah kecemerlangan kepada kategori PPW dan PPG masing-masing.
“Anugerah berprestij ini diharap dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada syarikat PPW dan PPG berlesen dan berdaftar di bawah KPKT untuk sentiasa mematuhi Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81].”
“Penganjuran anugerah ini mengiktiraf komitmen PPW dan PPG dalam pelaksanaan inovasi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membudayakan semangat daya saing dalam memberi manfaat khususnya kepada komuniti setempat. Ini termasuklah memberi sokongan kredit kepada perusahaan dan syarikat korporat.” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai agar memastikan setiap proses permohonan pinjaman dan gadaian dilaksanakan mengikut prosedur yang betul bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Tambah beliau, ia penting bagi memastikan peranan PPW dan PPG tidak disalah gunakan serta dimanipulasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Setakat 30 April 2024, terdapat 4,416 PPW berlesen di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan 881 PPG berlesen di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81).