Berita Semasa

TMJ buka mulut kes pecah rumah Khuzaimi Piee

KUALA LUMPUR – Lagi kes membabitkan pemain bola sepak dan kini, pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee pula menjadi mangsa selepas kediamannya dipecah masuk ketika keluar menjalani latihan di Pusat Latihan Selangor di Shah Alam semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu pada 11.30 malam Rabu.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan MPV warna putih dan melarikan motosikal Yamaha Y15R seperti mana ditularkan.

“Hasil siasatan setakat ini dua suspek lelaki yang terbabit. Ketika balik seorang suspek menunggang motosikal dan seorang lagi membawa MPV.

“Ketika kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan insiden yang dialami oleh Khuzaimi Piee, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) telah membuka mulut dengan menepis segala dakwaan mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berkaitan kes pemain bola sebelum ini.

“Confirm (pasti) ini semua kerja TMJ dengan JDT (Johor Darul Ta’zim). Mastermind dan tangan ghaib.

“Next (seterusnya) apa pula Dr.Johan? Cara terbaik nak tutup kegagalan selepas belanja RM47 juta duit kerajaan dan rakyat setiap tahun mesti pandai buat cerita.

“Play victim (pura-pura jadi mangsa), kononnya kami tak menang kerana kami dianiayakan.

“Semua salah TMJ, FAM, MFL dan PDRM, diri sendiri tak pernah salah. ‘False flag’,” tulisnya dalam satu ruangan komen di Instagram.

Tangkap layar komen TMJ di Instagram.

TMJ turut menafikan komen itu dipadam olehnya memandangkan orang ramai sudah tidak dapat mencari pandangan beliau itu berhubung kes yang melibatkan Khuzaimi Piee.

“Comment ni kena delete (padam) ke?” tulis TMJ di Instagram baginda hari ini.

Untuk rekod, berlakunya beberapa kes melibatkan pemain bola sepak Malaysia dengan kejadian pertama melibatkan penyerang sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid disamun dan dipukul di kediamannya di Kuala Terengganu, Terengganu pada 2 Mei oleh individu misteri dengan menggunakan cota.

Selain itu, Pemain Selangor FC, Faisal Halim pula menjadi mangsa simbahan asid yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang 5 Mei lalu sehingga dilaporkan mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan itu.

Kereta milik Safiq Rahim pula dilaporkan dipecahkan dengan tukul besi oleh dua individu tidak dikenali selepas menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor pada 8 Mei.

Show More

Related Articles

Back to top button