Berita Semasa

Azerbaijan, Tajikistan berminat hantar lebih ramai penuntut ke IPT di Malaysia – Zambry

LONDON – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Tajikistan dalam menaik taraf bidang pendidikan di kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, hasrat itu telah dipersetujui bersama Menteri Pendidikan dan Sains Tajikistan, Nuriddin Said bagi meneruskan program pertukaran pelajar dengan jumlah pelajar Tajikistan di Malaysia kini meningkat melebihi 200 orang.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Pendidikan dan Sains Tajikistan, Nuriddin Said, beliau menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menaik taraf bidang pendidikan mereka.

“Pada masa sama, program pertukaran pelajar akan diteruskan, di mana jumlah pelajar Tajikistan di Malaysia kini melebihi 200 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas perbincangan dua hala sempena The Education World Forum (EWF) 2024 yang diadakan pada 19 hingga 22 Mei lalu di sini.

“EWF menghimpunkan ramai Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi dari seluruh dunia, menjadi platform penting untuk perkongsian idea dan strategi dalam menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, perbincangan dengan menteri sejawatnya dari Azerbaijan, Emin Amrullayev membuahkan hasil untuk pendidikan kedua-dua negara itu.

“Emin menyatakan harapan Azerbaijan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bagi menghantar lebih ramai pelajar mereka menyambung pengajian di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Azerbaijan juga berharap Malaysia dapat membantu dalam membangunkan pendidikan tinggi di kawasan Karabakh.

Dalam pada itu, lawatan Perdana Menteri ke negara Asia Tengah baru-baru ini juga membuka peluang kerjasama dengan negara-negara di rantau tersebut.

“Ini berdasarkan keyakinan dan kualiti yang ditunjukkan oleh delegasi Kerajaan Malaysia,” tambahnya.

Katanya, pertemuan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun bersetuju untuk berkongsi pengalaman mengenai Programme for International Student Assessment (PISA).

“Mereka juga membincangkan usaha untuk memartabatkan semula kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kolaborasi antara institusi Malaysia dan Jepun,” ujarnya.

Sementara itu, pertemuan dengan pihak Microsoft pula menjurus kepada bidang Kecerdasan Buatan (AI).

“Peluncuran Malaysia AI Nexus mendorong Microsoft untuk terus bekerjasama secara aktif dengan Malaysia melalui KPT,” katanya.

Zambry turut menggesa agar kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia turut diperkukuhkan melalui Konsortium Universiti UK-Malaysia (UK-MUC) dengan pelbagai program peringkat tinggi direncanakan.

Sehubungan itu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global semakin mendapat perhatian dan akan terus diperkasakan demi kemajuan bersama.

Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat pendidikan tinggi yang disegani di peringkat antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button