Berita Semasa

Kubur suspek serangan balai polis diasingkan – Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor

Satu peringatan kepada masyarakat

JOHOR BAHRU – Kedudukan kubur suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram Jumaat lalu, dijarakkan dari kubur orang awam lain sebagai satu peringatan kepada masyarakat.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang memutuskan perkara itu berkata, peringatan itu ditujukan kepada masyarakat supaya tidak terbabit atau melakukan perkara seperti dilakukan suspek.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa yang telah bersidang Jumaat lalu, yang dipengerusikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad turut membuat keputusan supaya jenazah suspek juga tidak dibenarkan untuk dibawa ke mana-mana masjid atau surau untuk urusan pengebumian.

Jenazah juga hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital atau di rumah keluarga suspek sahaja.

“Fatwa ke atas jenazah suspek ini sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek apatah lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tidak melakukan salah dan silap terhadap suspek.

“Jawatankuasa Fatwa mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dan simpati ke atas suspek di atas apa yang telah dilakukannya,” kata kenyataan berkenaan.

Jenazah suspek tersebut sudah dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, dengan kedudukannya dijarakkan dan diletakkan di hujung kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian Jumaat lalu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian.

Sementara itu, anggota yang cedera, Koperal Mohd Hasif Roslan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

Show More

Related Articles

Back to top button